Monday, November 02, 2009

Asian Renaissance Generation Wave

Generasi gelombang kebangkitan Asia

Oleh: Eekmal Ahmad

NOV 2 — Dari segala deretan memori, izinkan saya kongsi bersama cebisan ini. Semuanya bermula pada tahun 1999. Berbekalkan duit dari PTPTN yang saya simpan berdikit-dikit, akhirnya tertunailah hasrat untuk memiliki sebuah motosikal Honda model EX5. Ianya memudahkan untuk saya bergerak ke sana ke mari, juga untuk aktiviti pergerakan mahasiswa Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia. Motosikal itu kiranya dibenarkan untuk berbicara, pastinya banyak cerita saya terbongkar, yang manis, pahit, gembira, ketawa dan menangis.

Selepas melalui beberapa peringkat tarbiyah, bersenjatakan motosikal Honda itu, saya dan rakan-rakan sering ke Kuala Lumpur untuk menyertai demonstrasi. Baik demonstrasi tersebut menyanggah kewujudan sebuah kerajaan yang diterajui Umno-Barisan Nasional ataupun membantah aktiviti dan acara, yang pada pendapat kami bertentangan dengan hukum syarak. Negara Islam wajib ditegakkan, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih merengkok dalam penjara bukanlah tokoh yang wajar dipercayai. Kecurigaan ini, mengikut perkiraan saya, adalah mirip kecurigaan al Ikhwan al Muslimoon terhadap Gammal Abdel Naser. Apa yang pasti kami sentiasa bergelora, idealistik dan yakin, kemenangan pada suatu hari milik kami.

Di pertengahan jalan, saya tertewas, hilang pertimbangan, lalu menamatkan pengajian undang-undang saya di UKM. Beberapa ketika, saya pulang ke Alor Star, tetap setia bersama motosikal EX5. Buat menenangkan hati, sering saya berulang alik, sudah tentu bersama motosikal setia, ke pondok Dehrang mendengar kuliah Ustaz Nuruddin Al Banjari dan Ustaz Fahmi Zam Zam. Memperoleh ketenangan dan sokongan ibu bapa, permohonan memasuki kuliah undang-undang UiTM diajukan. Tahun 2002, ianya bermula kembali. Saya ke Shah Alam menjadi pelajar fakulti undang-undang walaupun minat untuk menjadi seorang peguam sudahpun padam.

Ketika masa “pemulihan” di Alor Star, oleh kerana kemaruk mendapatkan bahan bacaan, Berita Keadilan yang dipimpin Khalid Jaafar adalah antara bacaan wajib selain dari kitab-kitab fiqh dan Tafsir al Azhar. Minat itu saya teruskan ketika di Shah Alam. Ligat saya mengelilingi bandar tersebut mencari Berita Keadilan buat menghilangkan ketagihan. Tulisan dan wacana yang dicetus menggasak saya memikirkan kembali beberapa keyakinan serta sikap perjuangan. Saya mulai menaruh minat untuk mengenali Anwar Ibrahim. Tapi melalui apa? Makanya berbekalkan duit, sekitar RM30 dan motosikal itu, saya mencapai nashkah “Asian Renaissance,” karya versi Inggeris mantan timbalan perdana menteri, yang dihumban ke dalam penjara, di toko buku berdekatan. Dan buku itu menemani saya siang dan malam.

Secara tiba-tiba perasaan cemburu menyerang saya. Bibliografinya mengejek-ngejek saya. Senarai nama seperti Syed Naguib al Attas, Syed Hussein al Attas, Karl Popper, Tagore, T.S. Eliot, Sutan Takdir dan Dead European Males lainnya menerbitkan resah berpanjangan. Perpustakaan diserbu, mencari buku-buku yang ditulis oleh mereka semua dengan nafsu yang bergelojak. Kerap kali pemburuan berakhir dengan kekecewaan dan sumpah seranah. Misalnya “The Open Society and Its Enemies” karya Karl Popper, pemikir dari Vienna, langsung tidak terdapat di rak-rak buku perpustakaan. Bagi saya ianya adalah antara mehnah dan tribulasi yang paling besar pernah saya hadapi.

Perlahan-lahan gagasan Nahdah Asia Anwar Ibrahim menjelma. Meratib saya mengingati di antara pesan Gelombang Kebangkitan Asia (judul versi Melayu); “the cultivation of good taste takes the place of mediocrity and philistinism.” Mengunyah bab demi bab seperti Keunggulan Budaya, Ekonomi Manusiawi, Timur dan Barat serta Demokrasi dan Masyarakat Madani, merubah saya menjadi insan yang yakin. Kini saya menyendiri ber-”usrah” dengan membedah dan menghadam satu demi satu faham yang terkandung di dalam Gelombang Kebangkitan Asia. Ke “Melayu”-an dan Ke-“Islam”-an tidak menghalang saya dari menerobos tembok khusus intelektualisme yang selalu dikaitkan dengan golongan kelas menengah dan tinggi. Akar budaya dan juga agama menjadi jendela meneropong Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Hamlet, John Keats, perdebatan seputar sekularisme, Ibsen dan FA Hayek.

Gelombang mempertemukan saya dengan sekelompok anak muda ataupun yang berhati muda. Dengan motosikal EX5 itulah saya berulang alik dari Shah Alam ke Telawi, meredah kedinginan malam dan kehangatan petang. Kami yang datang baik dari utara, timur dan selatan tanah air, membentuk komuniti kecil para seniman, penulis, wartawan dan pelajar. Akal, tradisi, kebebasan, moraliti, budaya, kuku besi dan agama menjadi tema perbincangan dan renungan. Usrah baru saya terdiri dari mereka yang fanatik berbahasa Melayu, sering menyeru agar menguasai, bukan sahaja bahasa Inggeris, bahkan bahasa Jerman, Mandarin, Pali dan Greek kuno serta menyanggah ketuanan perkauman yang meminggirkan etnik lainnya.

Rasa rendah diri disingkir jauh-jauh. Syarahan Karamah Insaniah, Pico della Mirandola bahawa “tiada yang lebih dikagumi selain manusia” bagaikan petir dan guruh yang berdentum di langit. Bingit dan mengejutkan. Gelombang memaksa sekaligus meyakinkan saya bahawa dikotomi di antara timur dan barat semakin kabur. Manakala Kebebasan dari regim yang tirani dan mengangkat martabat Budaya bangsa dari kelaihan berpanjangan merupakan tanggungjawab generasi perubahan; Generasi Gelombang Kebangkitan Asia.

Mulai saat itu saya mengenali, ataupun dengan lebih tepatnya, cuba mengenali sosok Anwar Ibrahim. Sudah tentu tidak sepenuhnya. Akan tetapi saya tidak perlu untuk bersekolah dengannya ataupun mengaku mengenali beliau selama berpuluh-puluh tahun. Cukup buat saya, menyedari serta memahami gagasan-gagasan beliau. Tidak perlu untuk membandingkan Anwar Ibrahim dengan tokoh-tokoh silam seperti Dr Burhanuddin al Helmy, Datuk Onn atau pun Alexander dari Macedonia itu!

Anwar adalah Anwar. Beliau melakar Gagasan Gelombang dan terbukti ampuh meroboh bongkah-bongkah Nilai-nilai Asia anutan beberapa pemimpin tua yang gusar legasi mereka akan lenyap dimamah keyakinan baru. Mentaliti pasca kolonialisme sudah tidak relevan. Sikap secara borongan membenci barat hanya menjadi alasan buat kebanyakan diktator memungkinkan kezaliman di tanah air sendiri. Manakala kita mengkritik pusat tahanan Guantanamo, pada ketika yang sama, negara ini juga memiliki pusat tahanan versinya sendiri di Kamunting.

Sekian lama kita berhadapan dengan politik hipokrasi. Dasar yang menguntungkan sebilangan kecil samada hanya untuk kepuasan elit pemerintah bumiputera ataupun tauke tauke kaya seharusnya ditolak tanpa ragu. Tidak ada justifikasi munasabah untuk kita menerima dalih membantu bangsa sedangkan hanya dua tiga kerat pimpinan barisan nasional sahaja yang kaya raya. Itulah manifestasi tertinggi politik perkauman sempit. Hakikatnya ianya cerita lama yang sudah basi.

Rakyat Malaysia terutamanya anak muda dari segenap lapisan masyarakat, merentasi sempadan agama dan etnik mempunyai kesedaran yang lebih baik dari apa yang disangkakan oleh sesetengah pihak. Pembentukan politik baru sesungguhnya tidak terelakkan. Acuan baru itu akan mengambil tempat, lalu bersaing dan mengalahkan politik lama yang bergantung kepada ketakutan, kecurigaan dan pemisahan antara kaum di negara ini. Kezaliman bukanlah hak milik mana-mana kaum, dan Keadilan adalah untuk semua.

Syaratnya ialah untuk terus beriltizam dengan Perubahan yang mengakar kepada hasrat untuk memelihara keluhuran perlembagaan, membanteras rasuah sehingga ke akar umbi, menjamin kedaulatan undang-undang, pengukuhan masyarakat demokratik dan berakhirnya politik perkauman.

Abad baru akan menjadi saksi, warisan pemerintah yang sekian lama “tahu apa yang terbaik untuk kita” sudah berakhir. Generasi Gelombang adalah kekuatan anak muda, suaranya, suara anak muda dan ianya arus deras yang mampu merubah lanskap politik serta sejarah negara ini. Anak muda mahukan sesuatu yang menyegarkan. Bahasa politik parokial perlu disisihkan. Perubahan yang luhur akan melibatkan semua untuk berbicara. Conversational Democracy adalah ciri penting penciptaan sebuah negara demokratik. Perdebatan dan wacana tidak menjurus kepada ungkapan seperti “pengkhianat bangsa” dan “agen yahudi.”

Generasi Gelombang tidak perlu menjadi apologetik dan mesti berani untuk mengaku bahawa bahasa demokrasi, kebebasan, keunggulan budaya dan pertumbuhan ekonomi yang mampan bukanlah monopoli mana-mana peradaban. Berbekalkan semangat baru, akan kita buktikan ungkapan Kipling bahawa, “There is too much in Asia and it is too old” adalah tidak benar sama sekali. Generasi Gelombang perlu merebut peluang mencipta dan menempa haluan baru buat negara ini.

Namun ini tidak bererti kita berhasrat mencipta yang baru dan terlepas dari pesan-pesan leluhur mahupun tradisi. Penggalian teks-teks klasik bagi saya menemukan kita dengan anjuran dasar untuk mengolah pandang dunia yang segar dan bertepatan dengan semangat zaman. Kebijaksanaan Bendahara Paduka Raja untuk menderhakai perintah Sultan misalnya, menyelamatkan Melaka dari hangus diberengus Jebat. Penulis Hikayat Hang Tuah menganyam cerita dan peri membiarkan pembacanya menilai di antara kesetiaan Hang Tuah, keterlanjuran Jebat, sikap tanpa usul periksa Sultan Melaka dan penderhakaan Bendahara Paduka Raja. Ternyata akhirnya penderhakaan Bendahara jualah yang menyelamatkan rakyat serta kerajaan.

Saya menyanggah beberapa telahan kononnya teks klasik ini menganjurkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada pemerintah. Saya juga menolak untuk mengagung-agungkan perbuatan Jebat. Hikayat Hang Tuah adalah antara karya yang menampilkan kejelikan pemerintahan tanpa batasan. Ianya menjadi iktibar kepada kita untuk mencipta sebuah negara yang mempunyai batas-batas jelas untuk melindungi hak rakyat dari digasir pemimpinnya. Ini menguatkan hujah kita untuk menuntut sebuah negara dan masyarakat yang demokratik.

Kecurigaan di antara agama juga perlu dikikis. Islam tidak sewajarnya dipandang sebagai sebuah agama yang kuno, mandul daya intelektualismenya dan zalim semata-mata. Kegagalan penguasa dan sesetengah pemikir Melayu-Islam untuk mengangkat harakat agama adalah antara punca kecurigaan ini bertunas. Keilmuan Islam dan kekayaan tradisi kepustakaan Melayu dibiarkan usang kerana kebanyakan mereka lebih berminat untuk mengejar kerusi-kerusi empuk di institusi pengajian tinggi dan terpasung kerdil menjadi jiwa hamba. Manakala taraf keilmuan dan intelektualisme jauh merosot tatkala wacana-wacana falsafah, ekonomi dan agama yang rancak di luar negara langsung tidak dipedulikan. Kita masih menanti siapakah bakal mampu menandingi Syed Muhammad Naguib al Attas dan Syed Hussein al Attas.

Pilihanraya umum ke 12 menyaksikan Anwar Ibrahim dengan dokongan rakyat berbilang kaum dan agama, berjaya memimpin permuafakatan politik yang berjaya menafikan majoriti dua pertiga barisan nasional. Berbekalkan mesej Perubahan, permuafakatan tersebut berjaya menambat jiwa raga para pengundi. Perubahan secara mendadak menjadi komoditi hangat di pasaran. Saya rasa ini lah kali pertama dalam sejarah moden negara, rakyat Malaysia berada di kedudukan untuk menentukan “harga” dan “tawaran” siapa yang terbaik.

Inilah juga masanya buat kita, Generasi Gelombang menawarkan pakej yang terbaik untuk rakyat. Jelmakan keyakinan kita terhadap sebuah negara madani yang berpaksikan masyarakat demokratik, keluhuran perlembagaan, keunggulan budaya dan kemakmuran ekonomi. Jelaskan kepada rakyat mereka berhak kepada yang terbaik, makanya menjadi tanggungjawab kita untuk menjadi yang terbaik. Sudah tiba masanya kita menjayakan cita-cita “the cultivation of good taste take the place of mediocrity and philistinism.”

Eekmal Ahmad adalah kakitangan Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sering mendengar ulasan majalah Monocole, Wired dan Technological Review dari adik lelakinya.

No comments: