Saturday, February 28, 2009

Amanat Harapan Anwar Ibrahim

Hadirin Sekalian,

Himpunan hari ini menjadi bukti kepada bulatnya tekad serta matlamat kita semua untuk berbakti kepada negara dan rakyat negara ini. Bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, kita akan pastikan Perubahan mengambil tempat dan menyempurnakan janji untuk membawa Harapan Baru kepada negara ini.

Tidak lama dahulu ramai yang percaya parti ini tidak ada masa hadapan. Mereka mentertawakan hasrat serta cita-cita kita. Muncullah nujum-nujum politik yang meramalkan kepupusan PKR kerana tidak percaya politik baru yang kita bawa; sebuah negara yang benar-benar bersatu dan tidak terperangkap dengan politik sentimen perkauman yang sempit.

Kepada rakan-rakan sekalian percayalah bahtera perjuangan ini tidak akan karam. Jangan sesekali keutuhan tekad perjuangan kita melonggar lemah.

Kepada mereka yang masih tersemat keraguan, percayalah kepada keluhuran akal budi rakyat, bukannya nujum-nujum yang sebenarnya masih terus mendokong regim korup. Parti ini sudahpun memasuki tahun yang ke 10 dan perjuangan kita mulai menunjukkan hasil. Yakinilah haluan tepat negara ini berada di tangan kita.


(MASA YANG SUKAR)

Ini adalah saat-saat sukar buat Malaysia. Ekonomi negara berada di ambang kemelesetan. Kita lihat kilang-kilang ditutup, perniagaan mulai terkesan akibat merudumnya ekonomi dan pengangguran pastinya mencecah ratusan ribu di akhir tahun ini. Rakyat Malaysia akan menempuh saat-saat sukar.

Malangnya menteri kewangan sekonyong-konyong terpinga-pinga dan hanya semalam terkejut menyatakan bahawa tidak ada yang menjangka kedudukan ekonomi sebegini parah. Walhal kita bersama mengungkap permasalahan ini enam bulan sebelumnya ketika membahas belanjawan tahun lalu.

Namun ketegangan kaum yang direkayasa demi meraih keuntungan politik masih berlaku. Nilai-nilai yang menjadi teras masyarakat Malaysia; kepercayaan kepada Tuhan dan menghormati Sistem Raja Berperlembagaan dimanipulasi oleh politik sempit untuk melaga-lagakan di antara satu kaum dengan yang lainnya serta digunakan untuk mempertikaikan kesetian terutamanya pendokong Pakatan Rakyat terhadap Negara. Sedangkan mereka pada masa yang sama menginjak-injak Semangat Keperlembagaan negara ini, yang menjanjikan kepada seluruh rakyat negara ini hak untuk bebas bersuara dan berhimpun.

Perkembangan politik tanah air mutakhir ini meletakkan Pakatan Rakyat di persimpangan jalan. Kita berdepan dengan propaganda yang menggembling emosi tiga R – Race, Religion and Royalty – bangsa, agama dan raja. Tiga isu emotif ini bertapak dan memunyai akar yang meresap dalam dalam psikologi orang Melayu. Sekiranya rakyat tidak mendapat penjelasan yang kukuh dan persuasif tentang isu hakiki ini mereka akan diperdayakan dengan pujukan simbol-simbol tentang bangsa, agama dan raja dan akan mengakibatkan pemikiran mereka kembali sempit, mundur dan kembali ke zaman feudal, bertentangan dengan semangat perjuangan pahlawan dan pendita bangsa- Dr Burhanuddin al Helmy, Dato’ Onn Jaafar, Ahmad Boestamam dan Pendita Zaaba.

Kita menyakini kita mempunyai hujah-hujah yang cerah, jitu dan persuasif untuk menangani propaganda Umno yang memperolok simbol-simbol bangsa, agama dan raja yang semata-mata digunakan untuk mengekalkan kekuasaan dan menutup pekong rasuah, jenayah dan penyalahgunaan kuasa. Sebaliknya kita mempunyai iltizam yang ikhlas dan sahih terhadap kepentingan dan kedudukan istimewa bangsa Melayu dan bumiputera, serta agama Islam yang dihuraikan dari perspektif sejagat dan berteraskan prinsip keadilan, tradisi ilmu, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan prinsip raja beperlembagaan.

Rakyat benci dengan sikap sombong pemerintah, rasuah dan pembohongan yang dilakukan dengan berterusan. Tindakan ini perlu dimulai dengan membina muafakat yang berlandaskan ilmu di kalangan pimpinan dan penggerak parti. Justeru itu kita perlu menggembleng semua idealisme,cita-cita dan hasrat rakyat untuk berdepan dengan momokan dan putar belit sentimen perkauman sempit Umno.

Keadilan telah mula mengambil langkah-langkah untuk mengungkap persoalan Islam dari perspektif sejagat dan inklusif yang berlandaskan tradisi ilmu. Sekarang propaganda Umno telah memutarbelit isu raja-raja Melayu untuk menimbulkan kekeliruan dan kekeruhan di dalam pemikiran rakyat. Kekeruhan ini perlu dijernihkan kembali.

Isu raja-raja Melayu perlu ditangani dengan sikap serhana, berhikmah tetapi tegas. Ia juga harus mencermin pemikiran arus perdana, dan bukannya retorika yang terpinggir. Selain dari hujah-hujah Islam dan keadilan sejagat, perspektif progresif dalam sejarah dan kebudayaan Melayu perlu dinukilkan. Dalam konteks ini tiga sikap terhadap raja perlu dibentangkan: pertama sikap Hang Tuah yang setia membuta tuli, kedua sikap Hang Jebat yang menderhaka dan menumpahkan darah rakyat yang tidak berdosa, di antara keduanya adalah Bendahara Paduka Raja, yang setia lagi bijaksana.

Sikap Bendahara Paduka Raja boleh dibandingkan dengan pendirian Edmund Burke yang berdepan dengan revolusi Perancis, dan Hang Jebat seorang Jacobin. Kaitannya pemikiran Edmund Burke kepada kita adalah kerana beliau seorang reformis, mendukung Glorious Revolution( Revolusi Gemilang), revolusi parlimen yang membataskan kuasa raja, dan ahli parlimen yang menentang penyalahgunaan kuasa yang dibuktikan dalam sikap beliau menuntut Warran Hastings meletakkan jawatan.

Perlu disebutkan juga tafsiran Bernard Mandeville dalam The Grumbling Hive terhadap ungkapan rex non potest peccarre – the king can do no wrong – dengan bait:

But Kings, that could not wrong, because Their Power was circumscribed by Laws.

Kerajaan Umno-Bn menjadikan negara ini lumpuh. Mereka tidak mampu untuk membuat keputusan demi kesejahteraan rakyat kerana apa yang diperjuangkan adalah keuntungan politik semata-mata. Apa tidaknya harga barang terus melonjak tinggi; tol dinaikkan dan hanya ditangguhkan sejenak menjelang pilihanraya kecil. Keutamaan bagi memastikan negara terus makmur serta kebajikan rakyat dipelihara ternyata diabaikan sedangkan kemelesetan mula memberi dampak.

Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman gagal memenuhi harapan rakyat untuk melihat sebuah badan yang bertindak bebas dari pengaruh Umno-Bn. Rasuah masih berleluasa dan kedaulatan undang-undang seperti dicabut taringnya.

Umno-Bn lebih mementingkan politik kabilah ketimbang menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. Manakala itu suratkhabar arus perdana masih tidak mahu memaparkan maklumat tepat berhubung salah guna kuasa mahupun keadaan ekonomi negara, sedangkan pemuka-pemuka negara gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.
Ini menjadikan tanggungjawab yang digalas kita semakin berat; untuk menyahkan segala bentuk rasuah dan kemunduran, untuk bangkit agar tidak terperangkap dengan permasalahan titik bengit serta kebencian yang disebabkan kekeliruan ciptaan politik jijik.

(SUDAH TIBA MASANYA UNTUK SEDAR DARI LAMUNAN )

Menjelang ulangtahun 8 Mac 2009, marilah kita semua merenung kembali samada kita sudahpun berusaha sedaya mungkin untuk memenuhi cita-cita Perubahan yang kita jana. Adakah kepimpinan parti melakukan yang terbaik bagi menyampaikan mesej Ketuanan Rakyat kepada rakyat.

Janganlah kerana kejayaan yang sedikit itu membuatkan kita berpuas hati. Jangan lah pula sesekali kita menyerah kepada serangan demi serangan yang datang segenap penjuru, direkayasa demi mencemar imej parti.

Kekecewaan jangan dibiarkan hinggap, penat lelah berjuang pasti disusuli kemanisan kemenangan.

Kita tidak boleh lagi bersikap sambil lewa dalam menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan. Ini bukanlah masanya untuk mendabik dada siapa kah yang paling banyak berkorban. Masih segar dalam ingatan apabila dipasung dalam penjara, betapa saya terkesan dengan keberanian saudara, tersentuh akan kesetian para pendokong serta didorong dengan pengorbanan rakan-rakan seperjuangan menentang kezaliman. Kita mesti kembali menggilap semangat perjuangan bagi memastikan Perubahan terlaksana dan parti yang dicintai ini diperkasa.

Masa untuk berbulan madu sudah tamat. Banyak lagi peperangan yang kita mesti menangi. Raikanlah kemenangan kita dengan penuh sikap tawaduk dan bersedia menghadapi cabaran yang lebih getir. Bulan-bulan mendatang menjanjikan halangan-halangan baru yang memperlihatkan wajah sebenar regim Umno-Bn yang sanggup menggunakan undang-undang kuku besi demi menghalang kemaraan kita.

(MEMBAHARUI TEKAD)

Rakyat Malaysia dahagakan Perubahan. Mereka mahukan ianya direalisasikan. Mereka mahukan pemimpin yang menjadikan rakyat sebagai agenda utama serta sebuah negara yang bersih dari rasuah serta salah guna kuasa.

Apabila rakyat memilih kita, mereka mahukan iklim politik yang berlainan; memimpin dengan penuh sikap tawaduk serta berbicara dengan penuh hemah. Oleh itu kita mesti berusaha bukan sahaja sekadar memenuhi harapan mereka bahkan mesti lebih baik. Kita mesti belajar untuk mengakui kesilapan dan memastikan ianya tidak lagi berulang.

Kita percaya politik adalah wadah buat kita berbakti kepada rakyat. Makanya kita bertanggungjawab baik terhadap sesama kita dan juga terhadap rakyat. Perjuangan kita berasaskan keyakinan untuk memastikan negara ini kembali berada di landasan yang tepat.

Izinkan saya menukil sepotong ayat dari esei tulisan Vaclav Havel yang berjudul “Paradise Lost”:
“Those who find themselves in politics therefore bear a heightened responsibility for the moral state of society, and it is their responsibility to seek out the best in that society, to develop and strengthen it.”
(“Mereka yang berada dalam politik sesungguhnya memikul tanggungjawab besar terhadap apa jua keadaan masyarakat dan adalah kewajipan mereka membangunkan masyarakat itu dengan segala kekuatan dan yang terbaik darinya”)

Saya menyeru kepimpinan Keadilan untuk membaharui komitmen mereka kepada rakyat. Tidak kira mereka yang berkhidmat dalam Biro Politik, MPT, Ahli Parlimen mahupun ADUN, juga kepimpinan parti di seluruh negara, kita mesti memastikan rakyat adalah agenda kita. Tunaikanlah amanah dengan berkesan dan penuh tanggungjawab.

Ingatlah perjuangan Parti Keadilan Rakyat tidak berasaskan ideologi kabilah, teras kita adalah perjuangan menegakkan keadilan dan merangkul semua tanpa mengira batasan kaum mahupun kepercayaan. Ini juga tentulah tidak asing dari seruan li-ta’arafu yang berasaskan ayat Al Quran Wahai umat manusia!

Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan( Al Hujurat: 13)

Manakala Confucius di dalam Analect, Buku 12, dan dirumuskan oleh pengarang terkenal Han Su Yin, ada mengatakan Si hai zhi nie jie xiong di, yang bermaksud “Empat lautan terbentang luas, Semua manusia bersaudara.”

Oleh yang demikian, kita punya ruang yang luas bagi semua suku kaum di negara ini untuk bersama merealisasikan impian ketuanan rakyat yang merupakan harapan baru untuk Malaysia.

Dari Perlis ke Johor merentasi lautan hingga ke Sabah dan Sarawak, Keadilan harus bergerak dengan kesungguhan memperjelas serta meraih keyakinan rakyat agar tiada lagi keraguan untuk melakukan perubahan bersama kita kearah masa depan yang lebih gemilang.

(STRATEGI)

Justeru itu, kita perlu memperkukuhkan jentera serta memperkuat semangat, kita juga harus memikirkan secara bersama bagi mendapatkan dana untuk parti.

Untuk itu, saya telah meminta Setiausaha Agung parti agar membawa parti ke hadapan untuk menyahut cabaran tersebut. Mulai saat ini juga, pihak sekretariat akan lebih memberi tumpuan kearah pengukuhan akar umbi diseluruh negara.

Bagi mencapai tujuan itu, kita akan memastikan sekurang-kurangnya satu mesyuarat dan ceramah diadakan pada setiap bulan oleh setiap negeri dan bahagian. Manakala ketua penerangan di setiap negeri akan diminta untuk melaporkan kepada ibu pejabat parti setiap bulan bagi membincangkan perkembangan terkini serta arahan dan langkah selanjutnya.

Pengambilan ahli-ahli baru harus ditingkatkan kerana ia adalah salah satu strategi kita bagi menghadapi pilihanraya di masa depan.

Tahun-tahun kebelakangan ini, anda telah mempamerkan semangat kesungguhan dalam perjuangan. Namun demikian kita seharusnya akur bahawa masih terdapat kekurangan dan kelemahan, masih ada ruang untuk kita memperbaiki serta melakukan peningkatan. Kita juga mahukan penyertaan yang lebih berkesan daripada rakan-rakan yang baru menyertai parti. Kita mesti terus melangkah ke hadapan, manakala mereka yang ada bersama kita pada hari ini adalah mereka yang komited dan sanggup berkerja keras untuk membawa parti ini ketahap yang lebih tinggi.

Perjuangan ini akan mencapai matlamatnya jika setiap daripada kita mengerti akan pentingnya semangat kerja berpasukan.

Bahtera telahpun menarik sauh tanda pelayaran sudah bermula, ayuh bersama kita melakar sejarah yang penuh gemilang. Kepada anda yang telah meraih undi daripada rakyat, adalah teramat penting mendapatkan sokongan berterusan dari rakyat untuk terus bersama melayari bahtera perjuangan. Buat anda yang telah diberi tanggungjawab dengan memegang jawatan-jawatan dalam parti, diharap dapat menjalankan amanah tersebut dengan berusaha lebih gigih demi memartabatkan perjuangan keadilan.

Masa semakin berlalu , ia telah membawa kita hampir kepada Pilihanraya Umum sekali lagi, oleh itu amatlah penting buat kita merebut setiap detik bagi membina kekuatan perjuangan menegakkan keadilan.

Dengan situasi ketidaktentuan ekonomi serta kerapuhan dalaman pihak lawan, ia seharusnya memberi kita kelebihan untuk terus mara kehadapan. Tambahan pula, keyakinan yang ditunjukkan rakyat terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat masih tetap utuh. Ini semua hasil dari kesungguhan kita yang selama ini senantiasa menumpukan untuk terus berkhidmat demi masyarakat.

(ISU KEWANGAN)

Menyedari bahawa kita tidak mempunyai kekuatan kewangan seperti BN, namun kita tidak akan sesekali tunduk kepada politik wang apatah lagi menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan bagi mencapai matlamat perjuangan.

(PENUTUP)

Kita akan tetap bergantung kepada dukungan rakyat yang menyokong agenda membawa perubahan untuk terus memberikan bantuan kewangan bagi membolehkan kita menjana kemenangan. Adalah menjadi prinsip kita selama ini bahawa kualiti kepimpinan serta komited melakukan perubahan dan pembaharuan dalam memperjuangkan kehendak rakyat adalah merupakan asset terpenting demi merealisasikan impian membina Malaysia Baru.

No comments: