Friday, July 13, 2007

'mati hidup semula'

Mengapa Anwar Ibrahim patut menjadi Perdana Menteri.

Sebagai permerhati politik tempatan dan rakyat biasa Malaysia yang tercinta ini, saya ingin memberikan pandangan saya berkenaan scenario politik tanah air kebelakangan ini. Umum mengetahui bahawa keadaan politik Negara nyata tidak stabil dengan kritikan bekas Perdana Menteri, Dr M terhadap kerajaan pimpinan Pak Lah. Dengan berlakunya penahanan Abdul Razak Baginda yang merupakan penganalis politik yang berhubung rapat dengan Timbalan Perdana Menteri, seolah-olah satu fenomena yang kini tidak sabar disaksikan oleh rakyat jelata akan berlaku. Banyak telah diperkatakan dalam blog dan media massa tentang pengaruh Khairy Jamaluddin dan bagaimana beliau naik dengan mudah kerana pengaruh PM sendiri. Peristiwa ‘di-boo’ oleh perwakilan pemuda UMNO masih segar dalam ingatan semua. Namun, ingin saya tekankan di sini bahawa sesiapa yang naik dengan cepat dan mudah, akan turun dengan cepat dan mudah juga, itulah lumrah alam, contoh terbaik berlaku kepada Anwar Ibrahim sendiri. Sebagai protégé Dr M, Anwar naik dalam parti UMNO dengan cepat dan mudah. Beliau dilihat sebagai seorang yang fasih dan petah berpidato dan berceramah. Skil ucapan beliau memang tiada tandingan, hingga saya mengakui beliau merupakan ‘pemidato’ yang lebih cekap berbanding Dr M sendiri yang lebih konvensional dan fundamental. Inilah bakat dan peluang yang ada pada Anwar untuk bertapak kukuh dalam UMNO, menyisihkan Tun Ghafar Baba, sungguhpun terdapat dakwaan yang beliaulah yang sebenarnya memulakan kempen politik wang untuk mendapatkan tempat Ghafar. Bersalah atau tidak, itu bukan apa yang penting hari ini. Siapa berani menyatakan politik tidak kotor? Memang sangkaan umum bahawa Anwar seorang opportunis dan memang beliau bercita-cita hendak menggantikan Dr M sebagai PM. Namun, beliau telah tersalah kira dalam strategi percaturan politik untuk menjadi PM. Beliau bolehlah dianggap jahil dan agak cuai kerana beliau sepatutnya sabar dan tidak memberontak kerana memang Dr M akan bersara tidak lama lagi. Ini terbukti dengan penyerahan kuasa sementara kepada Anwar sebagai Pemangku Perdana Menteri suatu ketika dahulu. Anwar patut mencontohi sikap seperti PM sekarang yang menjadi timbalan yang baik dan mendengar cakap ketua beliau. Hari ini, terbukti Pak Lah telah memberhentikan kebanyakan projek mega Dr M yang turut ‘dipersetujui’ beliau ketika menjadi timbalan Dr M. Ini barulah percaturan politik yang betul. Sama ada dipengaruhi Khairy atau Kalimullah, hal ini tidak penting. Hari ini, Pak Lah ialah PM dan Pak Lah yang mengeluarkan arahan. Siapa kata kalau Anwar menjadi PM, beliau tidak akan dipengaruhi para penasihatnya? Seperti yang kita tahu, walaupun Anwar seorang yang petah bercakap, namun beliau tidak ‘sebijak’ Dr M dari segi akademik. Begitu juga dengan Pak Lah. Jadi, tidak hairanlah kiranya Anwar juga akan mengikut nasihat penasihat yang beliau lantik. Dr M juga mempunyai ramai penasihat, tetapi seolah-oleh semua keputusan dibuat oleh beliau kerana terdapat ‘one-man show effect’ setiap kali Dr M mengumumkan sesuatu atau memberikan temuramah media. Inilah kesan positif daripada pentadbiran Dr M. Beliau nampak in-control. Dr M dilihat mampu menyelesaikan masalah. Persepsi yang sama tidak terlihat pada Pak Lah. Dalam politik, persepsi rakyat terhadap pemimpin adalah penting. Walaupun Anwar begitu dikaitkan dengan rasuah dan politik wang serta kegiatan tidak bermoral yang hari ini dibuktikan tidak bersalah, majority rakyat memandangnya sebagai pemimpin yang berkaliber dan dianiaya oleh Dr M. Sebab itu dalam pilihanraya 1999, BN kalah teruk di Terengganu dan hampir kalah di Kedah. Parti PAS dan Keadilan berganding bahu bekerja keras mendapatkan simpati rakyat. Anwar berjaya menghasilkan ‘the reformasi effect’. Ramai bersimpati dengan kes beliau. Tetapi itu adalah zaman dahulu, zaman kini, Anwar bebas. Sama ada ‘dibantu’ oleh Pak Lah atau tidak, ini tidak penting. Yang penting ialah beliau kembali bertapak dalam arus perdana politik tanah air sekiranya beliau masih ingin berhasrat menjadi PM. Saya tahu dan yakin bahawa Anwar masih berminat, beliau boleh menafikannya tetapi sedalam-dalam sanubarinya, saya pasti beliau masih rasa tidak berputus asa. Apabila kita berdepan dengan dua pilihan, kita akan memilih yang terbaik antara dua calon walaupun kedua-duanya adalah korup. Ternyata Anwar mempunyai lebih karisma berbanding Pak Lah. In English, I would like to put it that Anwar is a born-leader, Pak Lah is a born-administrator. Maknanya, Anwar mempunyai ciri-ciri kepemimpinan yang berkarisma manakala Pak Lah pula hanya boleh menjadi pentadbir. Pemimpin yang berkarisma adalah penting. Rakyat menjadi yakin terhadap pemimpin yang berkarisma. Ini terbukti apabila Bush dan Blair berjaya meyakinkan rakyat mereka bahawa perang di Iraq adalah sesuatu yang mesti diteruskan meskipun semuanya hanya bohong belaka. Dalam real-politik dan politik berteraskan Machiavelli di mana ‘the end justifies the means’, ahli politik perlu memahami bahawa dalam masa yang singkat, dia perlu mendapat kepercayaan daripada rakyatnya supaya mudah bertapak kukuh untuk sepenggal lagi. Akan tetapi, dalam konsep dan taktik BN sebagai parti pemerintah, lazimnya ini tidak berlaku. Bila dekat masa pilihanraya, barulah BN melepaskan wang berjuta-juta membiayai projek untuk rakyat. Rakyat bukan tidak tahu tentang hal ini, tetapi beranikah rakyat mengundi pembangkang yang tidak menjanjikan habuan apa-apa? Sekurang-kurangnya, rakyat mendapat faedah dan cukup makan. Rakyat bukan bodoh, rakyat hendak hidup sahaja, rakyat tidak kisah siapa yang menjadi PM asalkan terdapat habuan ketika pilihanraya. Inilah kekuatan penting yang dimiliki BN dan UMNO umumnya. Mereka mempunyai wang yang banyak. Susah untuk parti DAP, PAS dan ADIL memecah majority 2/3 di parlimen. Mereka boleh mengurangkan majority tersebut tetapi tidak mungkin memecahkan sehingga menjadi slim majority seperti yang berlaku di India. Memang dalam tahun 2004, Pak Lah dikreditkan sebagai PM yang menang paling banyak kerusi dalam pilihanraya umun sehingga lebih 90% majority. Tetapi apakah maksud 92% itu? Adakah sebabnya Pak Lah is Mr Clean and Mr Nice Guy ataupun rakyat terlalu gembira dengan persaraan Tun. Ataupun kedua-duanya. Abdullah Ahmad Badawi memang terkenal dengan keluarga ulama beliau dan beliau seorang yang ‘down to earth’. Maknanya, rakyat masih menyokong BN, cuma tidak menyokong Tun. Ini bermakna rakyat mahu pembangunan di bawah BN kerana BN merupakan parti tunggal yang mampu ‘membela’ nasib rakyat kerana kekebalan dan kekayaan yang dimiliki. Yang pentingnya, kita ada satu barisan pembangkang yang kuat supaya BN tidak lari daripada tujuan asal untuk membela rakyat secara adil (simbol dacing) kepada satu parti yang terlalu korup sehingga rakyat tidak percaya lagi kepada BN. Ini mungkin atau tidak mungkin berlaku bergantung kepada fenomena politik negara. Namun demikian, simple majority juga boleh mengundang masalah yang serius sehingga boleh mengulangi sejarah hitam 1969. Fabrik yang menjalin perpaduan rakyat amat penting. Jika hilang fabrik ini, negara akan berpecah-belah…

Akan bersambung...

1 comment:

pocai said...

TERKINI!!!

Halaman web bersih.org digodam?

Untuk himpunan artikel-artikel mengenai perhimpunan aman Bersih 10 November 07 dan dalang disebalik pertubuhan BERSIH, sila layari bersih.blogspot.org.